Thursday, April 29, 2010

::: Pergerakan Kreatif :::

PENGENALAN

Pergerakan kreatif bermaksud pergerakan yang dilakukan secara simbolik. Pergerakan kreatif dihasilkan daripada idea, perasaan serta tanggapan deria untuk menterjemahkan sesuatu situasi atau rangsangan yang diberi. Sebagai contoh, pokok pisang yang ditiup angin boleh ditunjukkan secara simbolik dengan rnengangkat kedua-dua belah tangan sambil digoyang ke kiri dan ke kanan secara lemah lembut. Pengalaman dalam melakukan pergerakan kreatif akan memberi peluang memperkembangkan kesedaran dan kefahaman tentang konsep pergerakan.


PERGERAKAN KREATIF

Pergerakan kreatif merupakan kombinasi antara pergerakan anggota badan, irama dan daya kreativiti untuk melahirkan insan yang kreatif dan mempunyai daya ekspresi. Dengan kata lain pergerakan kreatif bermaksud suatu tafsiran idea, perasaan atau tanggapan deria yang dapat dilahirkan secara simbolik melakukan pergerakan. Pergerakan kreatif boleh dilakukan sama ada secara bersendirian, berpasangan atau berkumpulan. Sekiranya pergerakan itu dihayati dengan mood dan perasaan yang berkaitan, pergerakan tersebut menjadi lebih bermakna. Penyelesaian masalah dalam pergerakan kreatif bukan berunsurkanpertandingan. Setiap pergerakan yang ditonjolkan adalah mengikut interpretasi dan penilaian kendiri.
Terdapat empat unsure utama dalam pergerakan kreatif. Kesemua unsur yang dinyatakan ini akan dapat membantu pelakunya untuk berkomunikasi. Empat unsur tersebut itu ialah:
• Tubuh badan
• Ruang
• Masa
• Daya


OBJEKTIF

Objektif pergerakan kreatif adalah untuk:
• Meningkatkan prestasi sedia ada pada pelajar berkaitan ritma, kreativiti,
kebebasan dan pengucapan.
• Pergerakan kreatif memberi fokus kepada penggunaan pancaindera untuk
mencipta sesuatu pergerakan secara berterusan.
• Supaya pelajar akan berasa seronok dan riang ketika belajar.
• Pelajar dapat berkomunikasi melalui pergerakan.
• Pergerakan kreatif ialah bentuk ekspresi diri yang unik untuk menyampaikan
pemikiran, idea atau perasaan.

Tujuan pergerakan kreatif adalah untuk meningkatkan potensi sedia
ada pada pelajar berkaitan ritma, kreativiti, kebebasan dan pengucapan


TEMA DALAM PERGERAKAN KREATIF

1. Kesedaran Tubuh Badan
Dalam tema kesedaran tubuh badan tumpuan gerakan diberi kepada pergerakan bahagian-bahagian badan serta keseluruhan tubuh badan untuk mencetus dan melahirkan idea atau perasaan.

(a) Keseluruhan Tubuh Badan
Dalam pergerakan ini gerakan dilakukan menggunakan keseluruhan
tubuh badan dan gerakan akan berhenti daripada bergerak secara bebas atau terkawal. Pergerakan ini mengawal aliran pergerakan lokomotor atau bukan lokomotor tubuh badan. Misalnya, pergerakan berjalan dan buka-tutup boleh dilakukan secara bebas atau terkawal. Pergerakan boleh berubah-ubah iaitu bergerak atau berhenti mengikut rangsangan yang diberi, misalnya muzik.

(b) Bahagian Tubuh Badan
Pergerakan ini dapat dilakukan seperti bahu, siku, pergelangan tangan, kaki dan pinggul. Pergerakan ini adalah persediaan tubuh badan untuk menyokong, memindah dan menerima berat badan. Bahagian tubuh badan yang digunakan
perlu dikenal pasti sebelum melakukan sebarang pergerakan
mengikut rangsangan yang diberi. Misalnya, bagi pergerakan merangkak seperti kucing berjalan, bahagian tubuh badan yang dikenal pasti ialah tangan, tapak tangan dan lutut. Tapak tangan dan lutut menjadi sokongan kepada berat badan.

Pergerakan ini dapat dilakukan menggunakan bahagian tubuh badan
seperti bahu, siku, pergelangan tangan, kaki dan pinggul.


2. Kesedaran Rintangan kepada Beban dan Masa
Tema ini akan memberi tumpuan kepada bagaimana cara tubuh badan bergerak dan membantu individu mengawal pergerakan mereka untuk melahirkan perasaan mereka melalui pergerakan.

(a) Sesuatu pergerakan akan dikawal apabila pergerakan itu mendapat rintangan, misalnya beban. Kesan daripada beban ini akan menghasilkan kesan halus-ringan dan berat-kuat kepada pergerakan yang dilakukan. Misalnya, seseorang yang sedang mencangkung akan sukar untuk berdiri iika pergerakannya adalah berat-kuat iaitu seolah-olah dia memikuk benda berat. Namun adalah mudah untuk berdiri jika pergerakan adalah halus dan ringan contohnya menyelam.

Kesan daripada beban ini akan menghasilkan kesan halus-ringan
dan berat kuat kepada pergerakan yang dilakukan

(b)Masa
Kesedaran rintangan terhadap masa memberi tumpuan kepada cara tubuh badan bergerak dan pengawalan gerakan sama ada secara serta merta atau kawal lambat. Contohnya pergerakan secara serta merta ialah sewaktu sebagai seorang peninju menggerakkan tangan dengan pantas untuk menumbuk. Sementara pergerakan kawal lambat ialah membayangkan cara burung terbang tinggi.



3. Kesedaran Ruang

Tema ini memberi tumpuan kepada ruang dalam menimbulkan perasaan. Kesedaran ruang ini akan melibatkan penggunaan kawasan dan arah dalam menontonkan sesuatu pergerakan.

(a) Kawasan
Kawasan yang digunakan dalam pergerakan ini memberi tumpuan kepada ruang diri dan ruang am. Sebagai contoh, perasaan gembira dilahirkan apabila tubuh badan digunakan untuk meneroka ruang dengan cara melompat-lompat dari satu tempat ke satu tempat. Selain daripada melibatkan penggunaan kawasan pergerakan ini juga melibatkan penggunaan arah.

(b) Arah
Arah pergerakan ialah gerakan yang dilakukan sama ada ke hadapan, ke belakang, ke sisi, ke atas dan ke bawah. Contohnva dalam melakukan aktiviti pergerakan melompat-lompat dari satu tempat ke satu tempat akan melibatkan juga arah pergerakan tersebut. Pergerakan yang melibatkan penggunaan kawasan dan arah dengan menggunakan peta.

Arah pergerakan ialah gerakan yang dilakukan sama ada ke hadapan, ke belakang, ke sisi, ke atas dan ke bawah.


4. Aliran Beban Badan dalam Ruang dan Masa

Tema ini berdasarkan kepada kelancaran urutan pergerakan tubuh badan dengan menggunakan ruang dan masa

(a) Aliran
Aliran mengutamakan kelancaran pergerakan menggunakan ruang dan masa dalam melakukan gerakan.
Terdapat dua jenis aliran dalam tema ini iaitu

• Aliran bebas
Pergerakan melompat adalah aliran bebas kerana keseluruhan tubuh badan berada di udara dan sukar diberhentikan.

• Aliran terikat
Pergerakan berjalan adalah satu pergerakan aliran terikat kerana pergerakan ini mudah berhenti dan badan berada dalam keadaan seimbang.


(b) Ruang

Salah satu kemahiran dalam pergerakan kreatif ialah memberi tumpuan kepada kesedaran tenang cara menggunakan ruang untuk melakukan pergerakan. Daya cipta kreatif dapat dihasilkan dan dipertontonkan apabila individu itu dapat menunjukkan cara menggunakan ruang terus dan ruang tidak terus.
Ruang terus ialah ruang yang digunakan secara langsung dengan berada dalam klingkungan kawasan yang tidak luas aktiviti yang dilakukan pada aras yang rendah. Contoh berjalan menggunakan pergerakan lurus, melengkung dan zig-zag.
Ruang tidak terus ialah kawasan atau ruang yang digunakan secara tidak langsung digunakan dalam gerakan pelbagai aras. Kawasan aktiviti dalam lingkungan yang lebih luas berbanding ruang terus.


5. Penyesuaian terhadap rakan

Penyesuaian terhadap rakan ialah kemahiran yang berkaitan dengan hubungan atau berkomunikasi dalam pasangan atau kumpulan melalui pergerakan. Contoh aktiviti dala kemahiran ini ialah:
Kerja Berkumpulan
Dalam kerja berkumpulan, penyesuaian terhadap rakan secara berkumpulan perlu dilakukan leh pelaku. Hubungan yang berlaku dengan rakan boleh dilaksanakan seperti yang berikut:
• Ketua dengan pengikut
• Kumpulan bekerjasama
• Ahli kumpulan bertentangan dengan rakan-rakan
Pertukaran tempat, pergerakan meniru atau bertentangan dengan rakan ialah cara-cara penyesuaian terhadap rakan yang boleh diteroka. Ahli-ahli kumpulan menyedari kedudukan rakan dari kedudukan dirinya dan juga kedudukan bahagian tubuh badan dengan bahagian badan dengan bahagian badan yang lain.


6. Penggunaan Tubuh Badan sebagai Alat

Tema ini memberi peluang kepada murid untuk menjelajah ruang dengan menggunakan tubuh badan sebagai alat persembahan secara spontan dan bebas.

(a) Lompatan Asas
Tedapat lima lompatan asas tetapi pilihan corak kedudukan kaki untuk membuat lompatan tidak ditetapkan. Pengalaman lompatan ini berguna untuk membolehkan murid menyedari bahawa cara lompatan berbeza akan memberi kesedaran yang berbeza.

(b) Bentuk Tubuh Badan
Penekanan ke arah kesedaran pergerakan yang mempunyai bentuk dan kesedaran bentuk badan semasa dalam keadaan seimbang. Tumpuan diberikan kepada keadaan seimbang sebagai satu pergerakan dan perkaitan antara bahagian tubuh badan yang melibatkan regangan otot. Empat bentuk badan asas ialah lebar (seperti tembok), lurus (seperti panah), bulat (seperti bola) dan pulas (seperti skru).

(c) Gaya Isyarat
Lakuan gerak isyarat ialah pergerakan pada bahagian tubuh badan yang tidak menyokong beban badan. Contohnya kedua tangan melambaikan sedangkan berat badan disokong oleh kedua belah kaki.


7. Ritma Berkaitan dengan Pekerjaan

Salah satu ritma yang terkenal dalam pergerakan kreatif ialah ritma yang berkaitan dengan pekerjaan. Setiap pelbagai bidan pekerjaan sama ada dalam industry pertanian, perkhidmatan atau perindstrian mempunyai ritma tertentu. Ritma ini boleh digunakan sebagai rangsangan pergerakan. Antara cirri untuk mengenalpasti lakuan pergerakan yang berkaitan dengan sesuatu bidang pekerjaan adalah seperti berikut;
• Bentuk tangan yang memegang sesuatu alat
• Ritma yang terdapat semasa melakukan pekerjaan itu diulangkan
• Peralihan antara dua pergerakan
• Cara tubuh badan digunakan untuk melakukan pergerakan


Kesedaran kumpulan
Kesedaran kumpulan lebih memberi tumpuan kerjasama kumpulan sebagai satu unit yang menunjukkan mereka mempunyai minat dan tujuan yang sama. Ahli kumpulan mempunyai peranan mereka tersendiri sama ada sebagai ketua atau pengikut kumpulan tersebut untuk membentuk pergerakan.
Ahli dalam kumpulan mempunyai peranannya sendiri sama ada sebagai pemimpin atau pengikut. Peranan boleh dimainkan apabila seseorang dilantik sebagai ketua. Ahli kumpulan akan meniru pergerakan ketua. Setiap ahli kumpulan akan bergerak berpandukan pergerakan ketua. Pergerakan itu boleh disesuaikan mengikut peranan masing-masing.

2 comments:

  1. Terima kasih. Bahan ini membantu saya dalam menyiapkan tugasan. Terima kasih ilmu yang dikongsi.

    ReplyDelete